BISNES DAN DAKWAH

Isnin, 14 Disember 2015

PERJALANAN SEORANG USAHAWAN - AKHIR


Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Google


Selamat bertemu kembali.
Mungkin sudah terlalu lama memori perjalanan ranjau kehidupan mahu dikeluarkan dalam bentuk penulisan sampai saya sendiri tak percaya terlalu panjang saya menulis hanya untuk sebuah episod pengenalan.

Yang bermula harus diakhirkan. Setelah pelbagai macam jenis perniagaan saya cuba, disambung lagi dengan menjadi ejen topup,ejen-ejen MLM, akhirnya saya diketemukan dengan bisnes emas melalui abang saya di Kedah. Abang saya menjadi ahli sebuah syarikat emas yang beroperasi di Nilai. Walaupun saya bekerja di Sepang yang tidak jauh dari Nilai tetapi disebabkan kesibukan saya sebagai guru Prasekolah, banyak berita luar terutamanya berkaitan bisnes tidak sampai ke telinga saya secara terus. 

Saya tidak menunggu masa lama untuk menyertai syarikat tersebut sebagai ahli dengan menggunakan modal dari pinjaman peribadi saya mendaftar sebagai ahli bermodalkan RM10,000 dan mendapat 10 utas barang kemas 10g. Maka pada tahun 2010,bermula la proses saya belajar berkaitan emas kerana memang matlamat saya menjadi ahli untuk teruskan minat saya berniaga.

Kali ini saya cuba sehabis baik untuk menulis ringkas agar penulisan saya tak dapat seperti menulis karangan SPM. hehe. Ia cuma sebuah perjalanan berkongsi pengajaran hidup untuk panduan bersama.

Sepanjang menjadi ahli syarikat emas tersebut, saya sangat aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti syarikat. Selesai sahaja kerja di sekolah, saya berkorban meninggalkan suami dan anak-anak untuk menyertai seminar-seminar emas, membantu bersama ahli-ahli yang lain membuka gerai jualan, dan memberi komitmen menguruskan pelbagai aktiviti ceramah yang disediakan oleh pihak syarikat. Namun, dalam keadaan sibuk itu, saya disahkan mengandung anak ke 4 tetapi terus aktif mengajar dan berbisnes. Demi masa depan anak-anak yang semakin bertambah saya terus gagahi untuk berusaha mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

Perkara yang membuatkan saya paling serasi dengan emas ialah apabila saya mengandung saya tetap kuat untuk menjalankan bisnes ini. Tidak seperti bisnes-bisnes yang lain, saya rasa sangat lemah bila mengandung dan tidak mampu meneruskan bisnes. Itu yang membuatkan saya rasa, emas adalah bisnes yang sebenar dalam hidup saya.

Setelah bersalin, saya semakin aktif menjual sehingga satu tahap saya menubuhkan satu kumpulan pemasaran saya sendiri bersama ahli-ahli syarikat tersebut dengan agenda menjalankan ceramah-ceramah emas ke seluruh negara. Walau hasil yang kami dapat dari perjuangan itu tidak setimpal dengan nilai wang, tapi kesedaran berkaitan ilmu emas yang sangat cetek di kalangan melayu khususnya menyebabkan kami rasa sentiasa bersemangat.



Jatuh bangun itu adat berniaga kata orang. Hanya yang kuat sahaja akan dapat meneruskan legasi. Akhirnya, ramai dikalangan ahli kumpulan saya terutamanya yang sepenuh masa berniaga merasakan tidak berbaloi untuk meneruskan kempen pemasaran kerana bayaran dari syarikat terlalu sedikit untuk diagihkan bersama. Belum anak ke empat menjejak umur 2 tahun, saya mengandung lagi anak yang ke 5. Saya mengambil keputusan untuk memperlahankan sedikit aktiviti bisnes namun pada awal tahun 2014 dunia emas seperti dipukau. Sampai saat ini saya masih tak punya ayat yang sesuai untuk menjadikan tragedi ini sebuah cerita tetapi kesan daripada pukauan inilah pada akhir tahun 2014 saya mengambil keputusan untuk memberi notis berhenti sebulan sebagai guru siswazah.

Waktu itu, sesiapa sahaja yang duduk dalam bisnes emas mendapat hasil yang luar biasa sehingga datang sifat tamak dan hilang kesedaran diri bahawa semuanya hanya bersifat sementara. Setelah sebulan saya berhenti, rata-rata seluruh syarikat yang menjalankan bisnes emas jatuh dengan teruk sekali. Dipihak saya, bukan sahaja tiada pekerjaan malah menanggung hutang yang besar akibat ramai yang menyertai saya membeli emas yang akhirnya tidak kunjung tiba.

Namun, semua ini mengejutkan saya dari lena yang sangat panjang. Kembali bermuhasabah dan peluang Allah memberi saya nafas untuk hidup serta memperoleh kekuatan muncul menulis di alam maya inipun sudah berjuta kesyukuran harus saya panjatkan. Bagaimana saya bangun dari tak punya apa-apa akan saya catatkan dalam entri yang lain inshaa Allah.

Pesanan dari seorang mentor saya. DARI MANA ANDA BERMULA ITU TIDAK PENTING.
Sekarang masanya untuk merencana BAGAIMANA ANDA BERAKHIR!!!



Salam ukhuwah dari saya, hanya seorang hamba Allah yang lemah. 

2 ulasan:

  1. Salam perkenalan.
    InsyaAllah setiap yg berlaku pasti ada hikmahnya. Semoga Puan terus sukses dan selamat datang ke ABDR :)

    BalasPadam
  2. Salam perkenalan.
    InsyaAllah setiap yg berlaku pasti ada hikmahnya. Semoga Puan terus sukses dan selamat datang ke ABDR :)

    BalasPadam